NIBONG TEBAL: Polis menahan lima lelaki Myanmar yang dipercayai anggota sindiket pemerdagangan orang dan menyelamatkan 28 orang warga negara yang sama selepas menyerbu sebuah rumah kedai di Sungai Bakap, di sini Isnin. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Wan Hassan Wan Ahmad berkata dalam serbuan pada pukul 6 petang itu, polis menahan 33 orang warga Myanmar termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun di bangunan dua tingkat berkenaan. "Serbuan dengan kerjasama Polis SPS, Kontinjen Pulau Pinang dan Bukit Aman itu susulan laporan polis yang dibuat seorang lelaki yang juga warga Myanmar mendakwa kakak dan abang ipar serta anak mereka berusia empat tahun ditahan anggota sindiket berkenaan. "Sindiket terbabit meminta wang daripada lelaki berusia 27 tahun itu jika mahu tiga anggota keluarganya itu dibebaskan dengan selamat dan kerana bimbang keselamatan mereka dia membuat laporan polis," katanya. Katanya semasa serbuan lima lelaki dipercayai anggota sindiket pemerdagangan orang yang berusia 26 hingga 48 tahun itu berada di dalam premis tersebut bagi mengawasi pergerakan yang lain. Wan Hassan berkata 28 orang yang diselamatkan itu dalam keadaan lemah setelah tidak diberi makanan. "Berdasarkan maklumat awal, mereka (28 orang) telah masuk ke negara ini sejak dua minggu lepas dan dikurung di premis berkenaan sementara menunggu anggota keluarga atau majikan membayar wang," katanya. Katanya siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan beberapa lagi anggota sindiket pemerdagangan orang yang terlibat dalam kes berkenaan.