PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada Rabu memberi jaminan bekalan lembu hidup yang diimport sempena sambutan Aidiladha Ahad ini adalah sihat dan bersih daripada sebarang penyakit. Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jaminan itu diberikan bagi mengelak pengguna berasa khuatir akan tahap kesihatan lembu import terutamanya berkaitan penyakit kuku dan mulut. "Lembu-lembu yang diimport biasanya akan diperiksa tahap kesihatannya terlebih dahulu sebelum dibawa masuk dan kemudian akan dikuarantinkan selama 10 hari," katanya kepada media selepas menerima kunjungan hormat Duta Brazil ke Malaysia Madam Maria Auxiliadora Figueiredo di pejabatnya di sini, Rabu. "Kita memang sentiasa pantau lembu-lembu yang dibawa masuk ke negara ini, dan kebanyakan lembu yang gagal dibawa masuk ke sini rata-ratanya kerana menghidap penyakit kuku dan mulut," katanya. Katanya, kementerian turut menempatkan sebanyak 361 pegawai bagi memantau tahap kesihatan dan proses sembelihan lembu-lembu import terbabit. Separuh daripada 25,000 ekor lembu yang disediakan sebagai bekalan sempena Aidiladha pada tahun ini diimport dari Myanmar, Thailand dan Australia. Sementara itu, kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan kerjasama dua hala bidang pertanian antara Malaysia dan Brazil adalah menggalakkan dengan kemungkinan untuk pertumbuhan dalam perdagangan pertanian yang tinggi.