KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia pada Jumaat membuat laporan polis berhubung sindiket atau individu yang menggunakan jenamanya bagi menipu orang ramai. Laporan dibuat di Balai Polis Dang Wangi di sini. Ketua perundangan kumpulan AirAsia, Amir Faezal Zakaria berkata laporan dibuat berikutan aduan orang ramai dan maklum balas berkaitan program loteri yang dikaitkan dengan syarikat itu. Bercakap kepada pemberita, beliau berkata AirAsia menafikan menganjurkan program berasaskan loteri yang diberi nama ‘2014 AirAsia High 5 Bonus Khas’ (2014 AirAsia High 5 Special Bonus) yang menjanjikan cek bernilai RM300,000. "Loteri itu aktif disebar menerusi e-mel daripada individu yang tidak dikenali mendakwa sebagai ‘JK Allen’ atau ‘Jimmy Chan’ menggunakan alamat e-mel [email protected] dan [email protected] yang kononnya berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah. "Kami menasihati orang ramai agar tidak menghiraukan mesej e-mel palsu itu dan AirAsia tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang tuntutan mengenai program loteri palsu itu," katanya. Amir Faezal berkata alamat e-mel rasmi untuk kakitangan AirAsia [email protected]. Baru-baru ini AirAsia dimaklumkan orang ramai sentiasa menerima e-mel dari sindiket yang memperkenalkan diri mereka sebagai AirAsia (Ibu Pejabat Rantau Asia Pasifik) dan menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Jalan Lapangan Terbang Lama, Tanjung Aru Sabah sebagai alamat perniagaan.