Allahyarham yang juga isteri Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.30 tengah malam Jumaat di Hospital Pakar KPJ Damansara akibat sakit tua.
Terdahulu, orang ramai diberi peluang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Dewan Solat Utama Masjid Negara sebaik saja keranda Allahyarham dibawa dari kediamannya di Bukit Tunku.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga anak saudara Allahyarham, tiba di Masjid Negara pada jam 1.04 tengah hari Sabtu bagi memberi penghormatan terakhir sambil diiringi anak lelaki Allahyarham, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta ahli keluarga terdekat.
Majlis tahlil dan solat jenazah diketuai serta diimamkan oleh Timbalan Imam Besar Masjid Negara, Mohamad Mohd Zin sebelum keranda Allahyarham diusung ke perkarangan Makam Pahlawan untuk dikebumikan.
Allahyarham adalah kakak kepada Tun Rahah, iaitu ibu kepada Najib.
Bapa Allahyarham, Tan Sri Mohammad Noah Omar adalah bekas Speaker Dewan Rakyat.