suria

Azizul, Shalwati Gembira Sambut Aidiladha Bersama Anak-Anak

Azizul Raheem Awalludin (tiga kanan) dan Shalwati (dua kanan) bersama empat anak mereka Aishah, 14, Ammar, 12, Adam, 11, dan Arif, 7, bermaaf-maafan pada pagi hari raya Aidiladha di kediaman keluarga mereka di Kampung Wakaf Tok Wali di Kota Bharu, Ahad. Foto BERNAMA

KOTA BHARU: Tiada lebih bermakna buat Azizul Raheem Awalludin dan isteri Shalwati Norshal kerana dapat menyambut Aidiladha bersama anak-anak setelah mengalami peristiwa hitam di Sweden sebelum ini. 

Azizul Raheem mengumpamakan sambutan Aidiladha kali ini seperti menyambut kelahiran seorang anak setelah terpisah daripada keluarganya selama sembilan bulan 13 hari setelah ditahan di negara itu. 

"Tempoh itu seperti seorang ibu mengandungkan anak dan tepatlah Aidiladha ini sungguh bermakna, ibarat menunggu kelahiran anak. 

"Aidiladha ini sangat berbeza setelah melalui pengalaman sukar selama tempoh itu sehingga anak-anak dan isteri berpisah dan kini kami bersatu semula," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini, Ahad.

Kali terakhir mereka menyambut Aidiladha bersama di kampung ialah empat tahun lalu sebelum mereka ke Stockholm.

Azizul dan Shalwati bersmaa keluarga menikmati juadah hari raya di meja makan.

Empat anak mereka iaitu Aisyah, 15, Ammar, 13, Adam, 12, dan Arif, 8, turut gembira dapat menyambut Aidiladha bersama di kampung kali ini.

Menceritakan pengalaman menyambut Aidilfitri bersendirian di Sweden pada Julai lalu, Shalwati berkata beliau hanya bertakbir berseorangan di dalam penjara dan makan sandwic bersama coklat panas sebagai juadah. 

"Aidilftri di sana disambut sehari lebih awal dari di Malaysia. Selepas hari raya, saya terus buat puasa enam, 20 jam sehari. Namun hari ini sangat menggembirakan kami sekeluarga kerana dapat bertemu semula," katanya. 

Aisyah pula berkata: "Terlalu gembira, rasa semuanya kembali lengkap". Pada 28 Mac lepas, Mahkamah Daerah Solna di Stockholm menjatuhi hukuman penjara 10 bulan terhadap Azizul Raheem dan 14 bulan ke atas Shalwati atas kesalahan mengasari anak-anak mereka. 

Bagaimanapun hukuman itu dikurangkan apabila masing-masing hanya perlu menjalani dua pertiga daripada jumlah hukuman yang dikenakan sebelum itu. 

Azizul Raheem dibebaskan pada 9 Julai lalu selepas selesai menjalani hukuman penjara dan sempat menyambut Aidilfitri bersama anak-anaknya di sini. 

Shalwati pula dibebaskan pada 29 September dan kembali ke tanah air Rabu lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain