KOTA BAHARU: Mayat seorang lagi mangsa tragedi bot terbalik dalam kejadian Sabtu lalu ditemui pagi Isnin, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang Rahmat Kamaruzaman. Rahmat berkata mayat Wan Nurdina Nadia Wan Azli, 10, ditemui di tebingSungai Golok di Kampung Bakung, Pasir Mas oleh penduduk kampung pada pukul 9.30pagi. "Mayat Wan Nurdina Nadia ditemui dalam keadaan terapung yang jaraknya darilokasi kejadian adalah kira-kira 10 kilometer," katanya kepada Bernama di sini. Beliau berkata mayat murid Sekolah Kebangsaan Jerantut itu dihantar ke Hospital Lati, Pasir Mas untuk bedah siasat. Sabtu lalu, Wan Nurdina, adiknya Wan Nurhabib Naufal, 6, dan ibu mereka Rosmiwati Zakaria, 37, dihanyutkan arus deras selepas bot yang dinaiki mereka terbalik di Sungai Golok, Rantau Panjang. Anak beranak itu adalah antara 15 penumpang bot yang sedang pulang dari Pasar Mundok, yang terletak di seberang Sungai Golok, sebelah Thailand. Sebelum ini mayat Rosmiwati ditemui pada pukul 5.45 petang pada hari yang sama iaitu beberapa jam selepas kejadian yang berlaku pada pukul 3.30 petang. Bot itu terbalik dalam keadaan arus sungai deras berikutan hujan lebat sebelum itu. Mangsa lain berjaya diselamatkan dan ada yang berenang ke tebing. Rosmiwati merupakan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Jerantut, Pahang. Sementara itu Rahmat berkata operasi mencari dan menyelamat kini diperluaskan sehingga 15 kilometer bagi mencari Wan Nurhabib Naufal yang belum ditemui.