PETALING JAYA: Rakyat Malaysia telah membuktikan mereka mempunyai perangai buruk dengan membuang sampah sesuka hati ke dalam tandas. Mereka tidak berusaha untuk mengubah perangai itu, malah sikap buruk tersebut semakin menular apabila terdapat peningkatan sebanyak 17 peratus terhadap kelakuan itu bagi tahun ini. Sebanyak 60,000 tan metrik sampah ditemui telah dibuang sesuka hati sepanjang tahun lalu dan jumlah berkenaan cukup untuk memenuhi 25 buah kolam renang bersaiz Olimpik. Manakala dalam tempuh tujuh bulan pertama tahun ini, peningkatan dapat dilihat dengan jelas dan perlu menambah 'lima buah lagi kolam renang' untuk menampung sampah berkenaan. Indah Water Konsortium (IWK) yang dikhaskan untuk memproses sampah domestik ini telah mengumpul hampir 70,000 tan metrik sampah ketika sistem pemulihan dibuat pada Julai lalu. "Jumlah 70,000 tan metrik sampah itu mampu dimuatkan ke dalam 30 buah kolam renang yang bersaiz Olimpik," jelas Ketua Komunikasi Korporat IWK, Azzatullina Pawanchik kepada katanya kepada The Star. Jelas Azzatullina, IWK menyediakan RM1.2 juta bagi kegunaan untuk mengeluar dan menghapuskan sampah-sampah ini. "Mereka merasakan sampah yang dibuang ke dalam tandas itu akan hilang dengan sendiri. "Namun sebaliknya, sampah-sampah ini akan pergi ke tempat lain. Sesetengah menjadi tumbuh-tumbuhan dan sesetengah lagi akan menyebabkan tandas tersumbat," katanya. Pada tahun lalu, The Star melaporkan rakyat Malaysia telah membuang sampah sebanyak 60,000 ton ke dalam tandas secara keseluruhannya. Turut dilaporkan, secara purata lebih kurang lima mayat bayi ditemui dalam sistem IWK setahun. Malah kebelakangan ini dilaporkan lebih 10 mayat bayi ditemui, namun Azzatullina menafikannya dan memberitahu jumlah sebenar kurang daripada sepuluh kes. Bagaimana pun Azzatullina mengakui kes buang bayi terus berlaku dan yang terbaharu minggu lalu apabila menjumpai mayat bayi ketika proses pengendalian sampah dilakukan. "Kebiasaannya mayat bayi ditemui ketika proses awal yang dipanggil 'grit chamber'. Barang-barang asing akan ditapis sebelum proses selanjutnya dijalankan," katanya. Selain itu, Azzatullina berkata antara barang-barang yang selalu dikumpul ialah peralatan rumah, permainan kanak-kanak, barang plastik, lampin bayi, tuala wanita, dan juga kondom. Laporan mengenai masalah tersumbat juga meningkat tahun ini iaitu dari 1,798 kes kepada 1,827 kes. "Masalah tersumbat berpunca daripada minyak dan sampah sarap yang dibuang ke dalam tandas. "Sesetengah restoran membuang sisa makanan termasuk minyak masak yang tidak digunakan. "Ada juga disebabkan oleh kontraktor yang membuang barang-barang pengubahsuaian rumah ke dalam lubang tandas sekaligus membuatkan ia tersumbat," jelasnya. Tambah Azzatullina, masyarakat perlu mengubah mentaliti ini yang boleh memberi kesan buruk kepada sistem dalam tempoh jangka masa panjang dan boleh meningkatkan kos penyelenggaraan.