suria

Bot Tempur Ditunda Ke Kota Kinabalu Jika Cuaca Mengizinkan

KOTA KINABALU: Bot tempur CB204 yang berjaya ditemui petang semalam setelah dilaporkan hilang lebih 30 jam di Perairan Mengalum, Sabah, akan ditunda ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu, jika cuaca mengizinkan.

Penglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Mohammad Rosland Omar berkata jika operasi menunda itu dilaksanakan hari ini, CB204 akan tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Sepanggar, esok, pada kira-kira 8 pagi.

"KD Lekiu telah diarah ke lokasi bot dan dijangka tiba 4 pagi hari ini (Selasa). Bot CB204 akan ditunda jika cuaca mengizinkan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, Selasa.

Bot tempur yang dinaiki tujuh kru belayar dari Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 5 pagi Ahad untuk melaksanakan penggiliran tugas dengan bot yang beroperasi di Gugusan Semarang Peninjau, Pulau Layang-layang, sebelum terputus hubungan komunikasi radio dengan kapal pengiring KD Paus pada 11.15 pagi.

Tujuh anak kapal bot itu ialah Lt Azri Bakar, BK PAP Charles Cristopher Muni, BM TMK Ince anak Ewin, BM TMK Steven Hudson anak Miso, BM JTP Nor Azuan Ariffin, LK KOM Sulhajji Daah dan LK I PAP Azhry Maani.

Bot tempur itu dikesan kira-kira 30 batu nautika ke timur Pulau Layang-layang selepas komunikasi sehala antara pasukan mencari dengan anak kapal bot berkenaan pada 4.15 petang Isnin.

Kesemua tujuh anak kapal bot dalam keadaan selamat namun kelaparan.

Bot tempur berkenaan berjaya dirapati KD Sri Ganas pada 7.12 malam semalam pada kedudukan 50 batu nautika di timur Pulau Layang-Layang.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menggunakan aset laut dan udara membawa kepada pengesanan bot berkenaan apabila KD Ganas berjaya memintas panggilan kecemasan melalui Radio Maritim.

Mohammad Rosland berkata kerjasama erat dan profesionalisme pelbagai agensi, perkhidmatan dan syarikat awam dalam operasi SAR telah membawa kepada penemuan bot CB204.

Bot Tempur, TLDM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain