suria

Lans Koperal Polis Dituduh Rasuah

IPOH: Seorang anggota polis pada Selasa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan rasuah membabitkan wang sebanyak RM700, tahun lepas.

Lans Koperal Syed Mohd Fitri Syed Mohammad, 27, dari Pantai Remis dekat sini yang tidak wakili peguam mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Anggota bertugas di Balai Polis Pantai Remis itu didakwa meminta suapan wang tunai sebanyak RM200 daripada Zaw Naing Phyo, sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap warganengara Myanmar itu yang kononnya melakukan satu kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di 127, Kampung Cina Pantai Remis, Pantai Remis dekat sini pada pukul 4 petang, 29 Nov 2013.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Mohd Fitri didakwa bersetuju menerima wang tunai RM500 daripada lelaki Myanmar itu melalui perbualan telefon.

Wang itu sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap warganegara Myanmar itu yang kononnya telah melakukan satu kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat SPRM Perak, Plot 7, Persiaran Meru Utama, Bandar Meru Raya di sini pada pukul 12.07 tengah hari, 9 Dis tahun lepas.

Kedua-dua pertuduhan itu masing-masing mengikut Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang mana kedua-duanya boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Madihah menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan kes kendalian Timbalan Pendakwa Raya Mukhriz Mat Rus itu akan disebut semula pada 7 Nov ini.


Rasuah, Polis

Artikel Lain