suria

Peniaga Di Sabah Kes Pertama Naik Harga Barang

Alias Ahmad.

PETALING JAYA: Seorang pengusaha pasar raya di Sabah disiasat kerana dipercayai mengambil kesempatan pengurangan subsidi bahan api pada 1 Oktober lalu dengan menaikkan harga barangan di premisnya.


Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad berkata, kes pertama itu diterima selepas mendapat aduan pengguna pada hari berikutnya.

“Kita membuat siasatan dan mendapati peniaga berkenaan menaikkan harga barangan. Kita telah pun menghantar notis tunjuk sebab kepada peniaga terbabit untuk menyatakan alasan kenapa berbuat demikian.

“Walaupun hanya satu kes sahaja setakat ini, kita tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga yang cuba mengeksploitasi dan memanipulasi pengguna dengan menaikkan harga barangan,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Alias berkata, KPDNKK akan mengenakan tindakan tegas mengikut Akta Kawalan Harga dan Akta Pencatutan 2011.

Mengikut akta itu, peniaga yang didapati melakukan kesalahan pertama boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM500,000, manakala untuk kesalahan seterusnya maksimum RM1 juta.

Sumber Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Sabah memberitahu mStar Online, pemeriksaan dijalankan terhadap premis berkenaan yang terletak di Penampang, Sabah pada 3 Oktober lalu, sehari selepas aduan tersebut diterima.

“Pemilik pasar raya sudah pun menyatakan sebab-sebab harga barangan makanan yang dinaikkan harga. Kita sudah melengkapkan laporan siasatan semalam (Selasa) dan menghantarnya ke ibu pejabat pada hari ini (Rabu) untuk tindakan selanjutnya,” kata sumber itu.

Sumber itu menambah, tempoh siasatan mengambil masa berikutan pemeriksaan turut melibatkan pembekal barangan berkenaan selain cuti umum sempena Hari Raya Aidiladha pada hujung minggu lalu.

Kerajaan pada 1 Oktober lalu mengumumkan pengurangan subsidi minyak sebanyak 20 sen bagi petrol RON 95 dan diesel.

Selain itu, kata Alias, pihaknya akan terus membuat pemantauan terhadap semua peniaga terutama di pasar dan pasar raya besar yang menjual barangan keperluan.

“Seramai 1,300 pegawai pemantau harga dan 1,800 pegawai penguatkuasa akan membuat pemantauan bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan dengan cuba mengaut keuntungan di atas kenaikan harga bahan api," katanya.

Beliau berkata, peniaga dinasihatkan untuk meningkatkan kecekapan dalam produktiviti mereka supaya bahan mentah yang digunakan dalam menghasilkan produk mereka dapat digunakan secara optimum.

“Kecekapan produktiviti mereka ini akan membantu menyerap kos yang disebabkan oleh kenaikan harga bahan api berbanding menaikkan harga barangan yang membebankan pengguna,” katanya.

KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad

Artikel Sebelum

Artikel Lain