suria

Prasarana Sedia Bas Atasi Masalah Parkir Di Parlimen

KUALA LUMPUR: Kumpulan Prasarana menyediakan perkhidmatan bas pengantara dari KL Sentral ke bangunan Parlimen sebagai usaha mengatasi masalah petugas dan pelawat meletak kenderaan mereka ekoran kerja-kerja penambahbaikan dan menaiktaraf kawasan bangunan itu.

Naib Presiden Eksekutif Operasi RapidKL Muhammad Yazurin Sallij (ulang: Sallij) berkata perkhidmatan bas disediakan dari KL Sentral bermula pukul 7 pagi dan 7.30 pagi dari Parlimen ke KL Sentral seterusnya setiap 30 minit dari kedua-dua lokasi sehingga 9 pagi. 

"Selepas pukul 9 pagi, bas RapidKL akan berlepas setiap satu jam sehingga 7 petang dari KL Sentral dan 8 malam dari Parlimen. 

"Perkhidmatan dengan pengenalan bas bernombor S100 ini akan ditawarkan sepanjang sesi Parlimen berlangsung bermula Isnin hingga Khamis termasuk Jumaat ini sempena pembentangan bajet," katanya kepada Bernama selepas bermesyuarat bersama Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia Datuk Lamien Sawiyo di Bangunan Parlimen, di sini. 

Pada Jumaat ini, kekerapan bas akan ditambah selepas 2 petang pada setiap 30 minit sehingga 7.30 malam dari KL Sentral, katanya. 

Bajet 2015 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Muhammad Yazurin berkata bayaran RM1 dikenakan untuk seorang penumpang bagi perkhidmatan sehala dengan pemberian diskaun 20 peratus kepada pemegang Kad Touch'N Go dan Rapid. 

Katanya, pihaknya akan meletakkan papan tanda mengenai perkhidmatan bas itu di kawasan daftar pintu masuk ERL di KL Sentral. 

Sementara itu, Lamien berkata sebanyak 104 lot tempat letak kereta terjejas akibat kerja-kerja penambahbaikan yang bermula sejak 2011 secara berfasa dan dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun 2017. 

"Saya galakkan petugas termasuk orang ramai supaya menggunakan perkhidmatan awam bagi mengurangkan kesesakan tempat letak kereta terutamanya pada Jumaat ini dengan tetamu yang hadir ke Parlimen boleh mencecah hingga 3,000 orang," kata Lamien.

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan