NILAI: Kementerian Pendidikan akan memastikan semua calon peperiksaan ulangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sabah yang terjejas akibat banjir, akan tetap menduduki peperiksaan itu, Khamis. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata, setakat ini tiga buah sekolah di Penampang, Sabah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Terian, SK Buayan dan SK Longkogongon terputus hubungan akibat banjir yang melanda negeri itu, sejak Selasa. "Kertas soalan peperiksaan dan enam petugas akan dihantar menggunakan khidmat helikopter Sabah Air Aviation. Pusat peperiksaan di SK Terian mempunyai lima orang calon, SK Buayan (tujuh calon) dan SK Longkogongon (seorang calon)," katanya dalam sidang media selepas melawat empat buah sekolah rendah yang akan menjalani UPSR di sekitar Nilai di sini, Rabu. Khair berkata, kesemua 13 orang calon UPSR itu akan bermalam di pusat penginapan berdekatan sekolah pada malam ini dengan diawasi tiga orang guru. Calon juga akan menduduki peperiksaan di sekolah masing-masing manakala pusat peperiksaan di tiga buah sekolah itu dipindahkan ke tingkat atas bagi mengelak banjir, katanya. Sementara itu, Khair berkata, sekolah di Pulau Banggi, Kudat, Sabah tidak terjejas banjir, cuma menghadapi ancaman ombak yang besar. "Bagaimanapun, pagi ini kita berjaya menghantar kertas soalan peperiksaan dengan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)," katanya. Khair berkata, terdapat enam buah sekolah di Pulau Banggi iaitu SK Semayan, SK Pulau Tigabu, SK Balambangan, SK Dogoton, SK Tanjung Manawali dan SK Kapitangan. "In sya-Allah, esok peperiksaan ulangan UPSR akan berjalan seperti yang dijadualkan walaupun banjir melanda negeri Sabah," katanya. Pada 22 September lepas, kementerian memutuskan kertas ujian Mathematics 015/1 (Sekolah Kebangsaan), 025/1 (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina), 035/1 (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) dan Bahasa Tamil 036, 037 bagi UPSR yang berlangsung pada 10 Sept dibatalkan setelah disahkan bocor. Tarikh baharu bagi kesemua kertas itu ditetapkan pada 9 Okt setelah mengambil kira cuti umum Aidiladha dan aspek logistik (percetakan dan pengedaran).