GEORGE TOWN: Polis kini memburu dua warga asing yang gagal menggodam mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Jalan Tengah, Bayan Baru, dua minggu lalu. Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Abdul Rahim Hanafi memberitahu perkara demikian kepada para pemberita pada Khamis. Kedua-dua warga asing itu dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), cuba untuk membuka bahagian atas mesin itu pada 25 September lalu. Mereka kemudiannya meletakkan tangan kepada CPU mesin tersebut tetapi tidak berhasil. Sejurus selepas itu, mereka menutup bahagian atas dan beredar tanpa membawa keluar sebarang wang. Pihak berkuasa bank hanya menyedari mesin itu telah cuba dibuka pada Selasa lalu. Mereka kemudiannya mengarahkan pegawai cawangan untuk meneliti rakaman CCTV sebelum mengesan dua lelaki berkelakuan mencurigakan pada kira-kira pukul 12.20 pagi pada 25 September lalu.