suria

Harap Bajet 2015 Tawar Inisiatif Untuk Belia Tangani Kos Sara Hidup

Khairul Azwan Harun
MELAKA: Pergerakan Pemuda Umno berharap kerajaan dapat mewujudkan lebih banyak inisiatif yang lebih berkesan khusus untuk golongan belia dalam Bajet 2015 bagi menangani masalah kenaikan kos sara hidup pada masa ini.


Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun berkata, inisiatif baharu khusus bagi golongan belia terutamanya yang baru memulakan kerjaya dan baru berkeluarga perlu bagi memastikan golongan itu tidak terbeban ketika memulakan kehidupan mereka.

Katanya, inisiatif melibatkan golongan belia pada bajet lepas seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk individu bujang lebih 21 tahun, Baucar Buku 1Malaysia dan dana untuk usahawan siswazah perlu diteruskan namun dalam masa sama perlu ditambah baik bagi menambah keberkesanan inisiatif itu.

"Saya percaya Kementerian Kewangan mempunyai maklumat dan statistik terkini mengenai belia yang boleh dijadikan panduan untuk merangka inisiatif baharu khusus bagi membantu belia mengatasi masalah kenaikan kos sara hidup," katanya kepada Bernama.

Katanya, berikutan kenaikan harga rumah pada masa ini belia terpaksa membayar harga yang tinggi untuk memiliki atau menyewa rumah seterusnya menyebabkan kenaikan terhadap kos sara hidup mereka.

Justeru, Khairul Azwan berkata, satu daripada inisiatif yang boleh diperkenalkan ialah program pemilikan rumah mampu milik golongan belia yang lebih komprehensif dengan mengambil kira harga rumah, pinjaman dan lokasi.

"Harga rumah yang ditawarkan mestilah berharga bawah RM250,000 berserta bayaran pinjaman bulanan dengan kadar amat rendah seperti RM500 sebulan dan lokasi di pinggir bandar bagi memberi keselesaan kehidupan kepada keluarga belia.

"Pemuda Umno juga sebelum ini ada mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan bandar belia iaitu belia memperoleh rumah pada harga rendah serta kemudahan untuk menjamin kehidupan yang lebih baik kepada mereka," katanya.

Pengerusi Biro Kepenggunaan, Alam Sekitar dan Kualiti Hidup Pergerakan Pemuda Umno Mohd Ar Rahman Husin berkata, inisiatif menangani kos sara hidup yang diperkenal kerajaan perlu menepati keperluan tiga kumpulan belia iaitu kumpulan tamat pengajian, berkerjaya dan berkeluarga.

"Lebih banyak inisiatif meningkatkan kemahiran perlu diperkenal bagi memastikan belia mendapat peluang kerjaya dengan gaji yang tinggi selepas belajar yang seterusnya dapat membantu mereka menyara keluarga.

"Kerajaan juga perlu memperkenal lebih banyak inisiatif untuk golongan pertengahan yang mana majoriti berada dalam kelompok ini, seperti potongan cukai dan pinjaman perumahan," kata Mohd Ar Rahman.

Beliau berkata, Bajet 2015 perlu memperkenal mekanisme tegas untuk meneutralkan 'impak domino' yang terhasil akibat pengurangan subsidi antaranya kenaikan harga barang.

Pengerusi Biro Pelajaran, Pergerakan Pemuda Umno Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, inisiatif Bajet 2015 tidak sepatutnya terlalu tertumpu kepada melahirkan belia berpendapatan tinggi sebaliknya memberikan kualiti hidup lebih baik kepada belia.

"Tidak semestinya pendapatan tinggi dapat menjamin kualiti hidup lebih baik kepada belia contohnya nilai gaji RM1,000 sebulan, lebih 20 tahun lalu membantu belia menjalani hidup dengan mewah tetapi sekarang gaji RM2,000 sukar tampung hidup di bandar," katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengimbangi purata gaji belia dengan kos sara hidup bagi memastikan belia dapat menampung kenaikan kos sara hidup yang berlaku di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat, Jumaat.


Bajet 2015, Pemuda Umno, sara hidup

Artikel Lain