KUALA LUMPUR: Seorang mangsa kejadian letupan bom di Bukit Bintang melihat kelibat seseorang dari bangunan bertentangan melemparkan sesuatu ke arah kelab malam di situ pada awal pagi Khamis. Lelaki warga tempatan yang cedera pada betis kiri itu berkata, ketika kejadian berlaku dia sedang minum bersama kawannya lebih kurang pukul 4.15 pagi. Berusia dalam lingkungan 40-an, mangsa mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dibenarkan pulang lewat petang Khamis. "Ketika sedang minum, saya nampak seseorang membaling sesuatu ke arah kelab. Keadaan gelap ketika itu dan benda itu dilempar dari bangunan bertentangan. "Selepas itu kami dikejutkan dengan bunyi letupan dan keadaan jadi huru-hara," katanya yang merupakan pelanggan tetap kelab berkenaan dan enggan mendedahkan identitinya. Sementara itu, seorang wanita warganegara asing yang bekerja di kelab itu berkata, letupan itu berlaku sebaik dia keluar dari premis itu. "Tanpa berlengah saya terus balik ke asrama pekerja di kawasan berdekatan. "Apabila tiba di rumah baru saya sedar lengan dan kaki saya cedera," katanya yang juga mendapat rawatan pesakit luar di HKL. Berikutan itu, katanya, kenalannya membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum dibenarkan pulang pada lewat petang, Khamis. Seramai 13 mangsa warga tempatan dan asing terlibat dalam serangan bom tangan dipercayai melibatkan perebutan kawasan kumpulan kongsi gelap, di hadapan sebuah kelab malam di Kompleks Sun, Bukit Bintang awal pagi Khamis. Salah seorang mangsa warga tempatan dari Sarawak yang bekerja sebagai joki kelab itu meninggal dunia di bilik bedah HKL. Mayat mangsa berusia 36 tahun itu dijangka akan dibedah siasat pada pagi Jumaat.