Beliau berkata sekolah tersebut dilindungi di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, yang antara lain menyebut bahawa walaupun bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, tiada sesiapa yang boleh dihalang daripada menggunakan bahasa lain untuk mengajar dan belajar.
"Oleh itu, sesiapa sahaja di negara ini yang mempunyai pandangan melampau dan hendak menghapuskan pendidikan (dalam bahasa ibunda), adalah melanggar undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan," kata Liow, yang juga Menteri Pengangkutan kepada pemberita selepas merasmikan Anjung Sejarah MCA di ibu pejabat parti itu di sini, Khamis.
Anjung Sejarah MCA mempamerkan bahan berkaitan sejarah MCA, termasuk kelengkapan yang sangat penting kepada parti berasaskan kaum Cina itu sejak awal penubuhannya.
Isu kewujduan sekolah vernakular menjadi topik perbahasan sejak beberapa tahun lepas dan terbaru, ia disentuh ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Utara Mohamad Azli Mohemed Saad.
Ahad lepas, media melaporkan Mohamad Azli membuat kenyataan bahawa perhimpunan agung Umno November ini perlu membincangkan langkah untuk menghapuskan sistem sekolah vernakular Cina.