suria

Fahaman Ekstremisme Punca Dunia Islam Saling Bermusuhan - Sultan Pahang

Sultan Ahmad Shah
KUALA LUMPUR: Kewujudan fahaman ekstremisme, taksub dan keterlaluan dari Barat sehingga ke Timur menyebabkan dunia Islam pada masa ini menghadapi konflik dan permusuhan antara satu sama lain.


Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bertitah, fahaman ekstremisme bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan dan penderitaan manusia malah boleh mencemarkan kesucian agama Islam yang sepatutnya mencerminkan kedamaian, kemajuan dan peradaban yang boleh dicontohi.

"Seolah-olah tidak cukup dengan kemiskinan dan kemunduran ditambah pula dengan fahaman-fahaman ekstremisme, taksub dan keterlaluan sehingggakan dari Barat hingga ke Timur, bumi Islam sentiasa berkecamuk dan berselisihan," titah baginda dalam ucapan pembukaan majlis konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-30, Sabtu.

Turut berangkat pada majlis itu, Sultanah Pahang Sultanah Hajah Kalsom.

Baginda bertitah, fenomena yang begitu ketara sekali berlaku di Timur Tengah itu disebabkan umat Islam sendiri tidak mengikut dan menjiwai Islam sejati yang menuntut kepada toleransi dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain dan ia merupakan tuntutan Islam hakiki.

Sehubungan itu, Sultan Ahmad Shah bertitah, graduan UIAM harus menjiwai dan mempraktik segala ilmu serta budi yang dipupuk ketika di universiti dalam hidup mereka sebagai usaha memartabatkan dunia Islam.

Baginda bertitah, graduan UIAM adalah duta keamanan, kesederhanaan, dan peradaban agung bagi membuktikan dunia Islam adalah sejati dan bukan terdiri daripada golongan fanatik, ekstrim dan ganas.

Dalam pada itu, Sultan Ahmad Shah bertitah, rakyat negara ini harus mengekalkan keamanan dan kesejahteraan Malaysia tercinta.

"Kita amat bersyukur kerana Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan fahaman agama dapat hidup bersatu serta bekerjasama mendaulatkan pemerintah, perlembagaan dan tatasusila kenegaraan yang tentunya menjadi bukti terserlah kebijaksanaan pemerintah dan rakyat jelata," titah baginda.

Pada majlis konvokesyen itu Sultan Ahmad Shah yang juga Ketua Perlembagaan UIAM berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang kejuruteraan dan keusahawanan kepada Pengasas Kumpulan Sapura Tan Sri Ir Shamsuddin Abdul Kadir.

Sementara itu, Datin Shameem Abdul Jalil, adik Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Peradaban Islam.

Sejumlah 4,853 pelajar terdiri daripada 47 pelajar peringkat diploma, 3,851 pelajar Ijazah Sarjana Muda, 808 pelajar Sarjana dan 147 pelajar PhD menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen UIAM kali ini yang akan berlangsung selama tiga hari.


Sultan Ahmad Shah, UIAM

Artikel Lain