Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, berkata loji rawatan air berkenaan terpaksa ditutup berikutan kandungan kimia yang tinggi akibat tumpahan diesel.
Katanya, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan menyiasat punca kejadian dan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan.
"Saya mahu tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran diesel di loji berkenaan," kata Azmin melalui laman Twitternya.
Azmin berkata, pegawai LUAS masih berada di loji rawatan air itu bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung punca pencemaran.