suria

MH17: Jenazah Shaliza Tidak Akan Dibawa Pulang Ke Malaysia

KUALA LUMPUR: Jenazah mangsa MH17 dari Malaysia yang baharu dikenal pasti tidak akan dibawa pulang ke Malaysia atas permintaan keluarganya, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Ya..sepatutnya dibawa ke Malaysia, tapi atas permintaan keluarga mangsa, jenazah akan dibawa pulang ke Australia, iaitu negara suaminya," katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-61, di Wisma MCA, di sini, Ahad.

Beliau berkata pihak berkuasa masih cuba untuk mengenal pasti seorang lagi mangsa dari Malaysia.

Mengenai proses siasatan, beliau menjangkakan ia akan mengalami kelewatan berikutan lokasi nahas di Donestk masih tidak selamat, selain faktor musim sejuk hampir tiba.

Pada Jumaat, dilaporkan mayat Shaliza Zaini Dewa, 45, telah dikenal pasti.

Shaliza Zaini, 45, bersama suaminya, Hans van den Hende serta anak-anak Piers, 15, Marnix, 12 dan Margaux, lapan tahun berada dalam penerbangan yang malang itu pada 17 Julai.

Mereka pulang dari bercuti di Amsterdam dan mahu menyambut Aidilfitri dengan saudara-mara mereka di Kajang, sebelum kembali ke Melbourne.

Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH17 terhempas ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam pada 17 Julai, membunuh semua 298 orang di atas kapal, termasuk 43 rakyat Malaysia.

Pesawat itu dipercayai telah ditembak jatuh di Ukraine, kira-kira 50km dari sempadan Rusia.
MH17, Shaliza Zaini Dewa

Artikel Lain