BUKIT AMAN: Polis berjaya melumpuhkan sindiket dadah warga Nigeria dengan penangkapan 11 suspek termasuk dua 'kingpin' atau raja dadah dalam tujuh serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada Sabtu. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata suspek masing-masing berusia antara 24 dan 54 tahun itu ditahan selepas pemantauan selama lebih setahun. "Dua raja dadah itu ditahan dalam dua unit kondominium mewah di Bangsar. "Mereka amat aktif dalam menyeludup dadah untuk diedarkan ke sekitar Asia Tenggara. "Antara 11 yang ditahan itu, seorang daripada adalah wanita tempatan dari Sarawak dan seorang wanita dari Tanzania. "Kami mengenal pasti wanita tempatan itu sebagai keldai dadah yang digunakan oleh sindiket tersebut," katanya pada sidang media di sini Isnin.