KUALA LUMPUR: Polis menahan 11 anggota sindiket dadah antarabangsa termasuk dua ketuanya dan merampas dadah jenis syabu seberat 30.3 kilogram dianggarkan bernilai RM3 juta. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata mereka yang ditahan Sabtu lepas, terdiri daripada sembilan warga Nigeria, seorang wanita warga Tanzania dan seorang wanita tempatan dari Sarawak. "Sindiket dadah itu didalangi warganegara Nigeria yang menyeludup dadah dalam kuantiti besar menggunakan perkhidmatan kargo untuk pasaran Malaysia dan negara jiran. "Dadah ini dirampas di Terminal Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada hari sama (11 Okt), yang diletakkan di dalam 24 paket makanan bijiran segera dengan setiap satunya dianggarkan antara 1 kilogram hingga 1.5 kilogram," katanya dalam sidang media di sini, Isnin. Noor Rashid berkata susulan itu, beberapa serbuan dilakukan di sekitar Lembah Klang kira-kira 1.30 petang pada hari sama dan menahan dua ketua sindiket Nigeria itu yang berusia dalam lingkungan 30-an dan semua anggotanya yang berusia antara 24 dan 54 tahun. "Kita tahan dalang sindiket ini, seorang di sebuah kondominium mewah di Bangsar dan seorang lagi di kawasan sama, manakala anggota sindiket lain ditahan di sekitar Lembah Klang. "Siasatan awal mendapati kedua-dua dalang sindiket ini tidak menetap di Malaysia sebaliknya keluar dan masuk (Malaysia) mengikut keperluan manakala anggota sindiket pula menggunakan pas lawatan sosial dan pas pelajar," katanya. Beliau percaya sindiket itu mempunyai kaitan dengan sindiket dadah tempatan. Selain itu, katanya sindiket berkenaan adalah besar dan terancang berdasarkan kualiti syabu yang dirampas. "Berdasarkn pemantauan setahun terhadap sindiket itu, mereka dikesan menyeludup dadah secara kecil-kecilan antaranya menggunakan bungkusan, keldai dadah dan sebagainya," katanya. Noor Rashid juga meminta wanita tempatan supaya lebih berhati-hati semasa berkenalan dengan warganegara Nigeria memandangkan mereka menyasarkan wanita tempatan untuk dijadikan keldai dadah bagi memudahkan kegiatan penyeludupan. Sambil berkata polis akan mengesan saki baki sindiket itu, polis akan menyiasat semua anggota itu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Dengan tangkapan itu, sebanyak 39 warganegara Nigeria ditahan kerana dipercayai menyeludup dan mengedar dadah sepanjang Oktober ini, katanya.