PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedia melaksanakan penggunaan tanda harga khas bagi setiap barangan yang dikecualikan daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Idea itu dicadangkan oleh Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman ketika diminta memberi reaksi berhubung pembentangan Bajet 2015 kepada mStar Online pada Jumaat lalu. Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, cadangan tersebut disambut baik dan dipertimbangkan selepas melihat ia bukan sahaja memberi kemudahan, malah mendidik pengguna mengenai pelaksanaan GST yang akan berkuat kuasa pada 1 April tahun depan. Bagaimanapun katanya, perkara tersebut masih dalam pertimbangan yang perlu diteliti menerusi beberapa perbincangan, maklum balas dan mendapat persetujuan semua pihak sebelum ia diputuskan. “Sebagai permulaan, satu perbincangan antara wakil-wakil KPDNKK, Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam mengenai cadangan tanda harga khas ini akan diadakan dalam masa terdekat. “Ini membabitkan senarai lengkap barangan termasuk perkhidmatan yang dikecualikan daripada GST, mekanisme pelaksanaan, penetapan warna atau jenis tanda harga khas dan tempoh ia dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa. Pelaksaanan GST akan berkuat kuasa pada April tahun depan bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Menerusi pembentangan Bajet 2014, kerajaan mencadangkan senarai barang makanan dan perkhidmatan asas tidak dikenakan GST. Bajet 2015 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lalu pula memperluaskan skop barangan yang dikecualikan cukai itu. Kerajaan juga akan mengeluarkan ‘panduan pembeli’ bagi membolehkan pengguna membuat perbandingan harga sebelum dan selepas GST. Menurut Alias, pengusaha juga boleh menyediakan senarai barangan dikecualikan GST di premis mereka namun kaedah itu akan membabitkan kos tinggi dan tidak membantu pengguna. Alias berkata, selepas rancangan tanda harga khas itu diputuskan, satu mesyuarat akan diadakan bersama pemain industri bagi mendapatkan maklum balas dan kerjasama mereka. "Perbincangan ini akan melibatkan wakil-wakil persatuan pengguna dan pengusaha-pengusaha premis yang terbabit dengan pelaksanaan GST seperti pasar raya besar. “Selain maklum balas dan cadangan daripada mereka, kita juga membincangkan mengenai satu ketetapan yang seragam supaya penggunaan tanda harga khas ini dapat dilaksanakan dengan baik oleh semua pihak berkenaan,” katanya. Beliau menambah, pada masa ini terdapat kira-kira 20 persatuan pengguna yang aktif bekerjasama dengan KPDNKK seperti Fomca, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Ditanya mengenai perbincangan dua kumpulan itu, Alias berkata, ia akan dilakukan secepat mungkin dan diharapkan dapat diselesaikan menjelang November depan. “Walaupun pelaksanaan GST hanya akan dikuatkuasakan pada April tahun depan, kita sudah boleh membuat perancangan awal menerusi pengenalan tanda harga khas terhadap barangan yang dikecualikan cukai itu. “Apa yang lebih penting, mekanisme ini dapat membantu memberi kesedaran pengguna terhadap pelaksanaan cukai baharu ini selain mereka dapat memperjuangkan hak dan membuat pilihan bijak ketika berbelanja,” kata Alias. Kerajaan pada Isnin mewartakan lebih 900 barangan dan produk di pasaran yang dikenakan dan dikecualikan GST.