KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan polis kerana meletakkan selipar di poster yang memaparkan wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengadakan demonstrasi. Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, lelaki berusia 58 tahun itu ditahan pada Sabtu lalu dan dibebaskan dengan jaminan pada hari yang sama. "Ini adalah kali kedua dia ditahan kerana melakukan kesalahan tersebut. Kami menerima laporan polis terhadapnya pada Sabtu mendakwa lelaki itu meletakkan seliparnya pada poster yang memaparkan wajah Perdana Menteri," kata Munusamy. Lelaki tersebut, kata Munusamy disiasat dibawah Seksyen 504 dan 506 Kanun Keseksaan kerana berniat mengugat keharmonian dan melakukan kesalahan jenayah. Lelaki itu dirakamkan melakukan perbuatan terkutuk itu ketika mengadakan demonstrasi pada 8 Oktober lalu di hadapan bangunan Parlimen yang membantah kenaikan harga petrol RON95 dan diesel selain pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tahun depan.