suria

Isu YB Kecam Negaraku Cetus Suasana Tegang Di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Tindakan biadab Ahli Parlimen DAP-Bandar Kuching, Chong Chieng Jen yang mengecam lagu Negaraku dimainkan di pawagam semasa sambutan Hari Kemerdekaan Negara Ke-57 dan Hari Malaysia mencetuskan suasana tegang di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dilihat bersorak dan menepuk meja tanda memberi sokongan ketika Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek membangkitkan tindakan Chieng Jen di laman Facebook miliknya mengenai lagu kebangsaan.

Lebih menghangatkan suasana apabila Ahmad Shabery turut mempersoalkan tahap patriotisme wakil rakyat terbabit dan DAP terhadap negara ini.

"Sebelum ini Yang Berhormat (YB) Bandar Kuching membuat kecaman apabila kementerian memperkenalkan supaya lagu Negaraku dimainkan di panggung wayang.

"YB Bandar Kuching tulis apabila beliau nak masuk panggung wayang, beliau malu. Beliau tanya apa nak jawab kepada kawan-kawannya dari luar negara. Ini reaksi beliau bila lagu Negaraku dimainkan dalam panggung wayang," katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Sebelum ini Chieng Jen di laman sosial Facebooknya antara lain menganggap tindakan memainkan lagu kebangsaan di panggung wayang sebagai 'absolute disgrace and ridiculous' (amat memalukan dan tidak masuk akal).

Ahli Parlimen itu juga mempersoal sama ada negara menuju ke era komunis.

Catatan itu dikongsi dan diulang twit oleh netizen yang majoritinya mengutuk kenyataannya.

Bagaimanapun, catatan itu dipadam daripada akaun Facebook Chieng Jen.

Mendengar kata-kata Ahmad Shabery itu beberapa wakil rakyat pembangkang bangkit menyangkal kenyataannya dengan mengatakan bahawa Chieng Jen sudah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka berhubung tindakannya.

"Ya beliau tarik balik (kenyataan) sebab mendapat ribuan kecaman daripada seluruh rakyat negara ini," kata Ahmad Shabery sambil disambut sokongan wakil rakyat BN.

Terdahulu Ahmad Shabery menjawab soalan tambahan Nga Kor Ming (DAP-Taiping) yang mempersoalkan tahap kebebasan media di negara ini.

Namun Ahmad Shabery menjelaskan bahawa Malaysia sebenarnya mengamalkan kebebasan bersuara namun tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.

"Sebab amalan kebebasan bersuaralah, akhirnya mencerminkan tahap patriotik YB Bandar Kuching dan parti YB sendiri," katanya.

Sementara itu, ketika sesi perbahasan Bajet 2015 di peringkat dasar, Chieng Jen sekali lagi dikecam di atas tindakannya itu.

Kali ini, Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) menyatakan rasa kecewa dengan tindakan pemimpin DAP itu.

"Saya terguris hati dengan sikap Bandar Kuching. Saya tak sangka rakan saya ini tak patriotik langsung.

"Memang salah orang Kuching pilih pemimpin DAP seperti ini," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain