KAJANG: Adegan kejar-mengejar berlaku selepas dua suspek perompak mengelak daripada ditangkap dan cuba merempuh empat anggota polis yang sedang melakukan rondaan. Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata dua lelaki itu dalam lingkungan 20-an dan 30-an didapati berkelakuan mencurigakan dalam sebuah kereta pacuan empat roda berwarna kelabu kira-kira pukul 3.30 petang di Taman Semenyih Jaya, petang Isnin. "Suspek terkejut apabila anggota saya mendekati dan mengenalkan diri mereka sebagai anggota polis. "Mereka (suspek) tiba-tiba bertindak agresif sebelum cuba merempuh polis untuk melarikan diri," katanya. Abdul Samah berkata, suspek penjenayah itu memecut kira-kira 150 meter dari sini sehingga persimpangan lampu isyarat dekat jalan masuk menuju Jalan Bangi Semenyih. "Oleh kerana lalu lintas sesak, mereka terpaksa memperlahankan kenderaan sebelum anggota saya melepaskan dua das tembakan yang salah satu daripada terkena tayar kanan hadapan kereta itu. "Mereka masih tidak peduli dan terus memecut laju sehingga ke kawasan perumahan yang terletak kira-kira 1 kilometer dari sini. "Namun, mereka akhirnya menemui jalan buntu sebelum ditahan," katanya. Menerusi pemeriksaan ke atas kenderaan itu, polis menjumpai beberapa barang yang dipercayai digunakan untuk memecah masuk rumah seperti pemutar skru, parang dan pemotong besi. "Kita turut memeriksa kereta tersebut untuk memastikan sama ada ia kereta curi atau sebenarnya dimiliki salah seorang daripada mereka. "Satu paket kecil yang mengandungi serbuk dipercayai heroin, turut ditemui dari salah seorang suspek," katanya. Susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah rumah yang dimiliki salah seorang suspek di Kajang Prima kira-kira pukul 9 malam. "Namun, tiada apa-apa ditemui di sana," katanya.