suria

Warga Thailand Maut, 12 Cedera Nahas Tiga Kenderaan

SUNGAI PETANI: Seorang warga Thailand maut, manakala 12 lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah van kilang dan dua kereta di simpang tiga Jalan Bedong-Sungai Petani, berhampiran sebuah hotel, dekat sini, pukul 6.45 pagi ini.


Kemalangan itu melibatkan sebuah van kilang yang membawa enam orang, iaitu seorang lelaki dan lima perempuan, sebuah kereta Proton Saga yang dinaiki seorang wanita dan sebuah kereta Kia Spectra yang dinaiki enam lelaki.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Ariffin berkata, berdasarkan maklumat awal yang diperoleh, mangsa yang maut dikenali sebagai Araming Dusong, 34, seorang tukang masak di sebuah gerai makan di Sungai Lalang yang berasal dari Pattani, Thailand.

"Dua belas lagi mangsa yang cedera telah mendapatkan rawatan dan polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu," katanya di sini, Rabu.

Difahamkan, Araming bersama abangnya, Mat Saidi, 36, dan adiknya, Faizu, 22, serta tiga lagi pekerja, menaiki kereta Kia Spectra menuju stesen kereta api Gurun.

Mereka dikatakan mahu ke stesen kereta api itu setelah terlepas kereta api di stesen kereta api Sungai Petani untuk pulang ke kampung halaman di Pattani.

Kereta yang dinaiki mereka dikatakan terbabas sebelum bertembung dengan van kilang yang dinaiki seorang lelaki dan lima wanita, dan sebuah kereta Proton Saga dipandu seorang wanita, yang datang dari arah bertentangan.

Mayat Araming dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk bedah siasat dan dijangka dibawa pulang ke Kampung Yarang, Pattani, untuk dikebumikan.

Mangsa lain yang cedera menerima rawatan di hospital sama kecuali wanita yang menaiki Proton Saga itu yang mendapatkan rawatan di klinik swasta. 

Artikel Lain