suria

Tanda Harga Khas GST: Langkah Seterusnya Semak, Kaji Akta - Alias

Alias Ahmad.

PETALING JAYA: Kerajaan akan mengkaji dan menyemak aspek perundangan berhubung cadangan penggunaan tanda harga khas bagi barangan yang tidak dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad berkata, semakan perundangan itu akan membabitkan beberapa akta kepenggunaan.

“Kita akan semak beberapa akta sebelum cadangan ini boleh dilaksanakan seperti Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan peraturan berkaitan di bawah akta itu.

“Kita juga akan menyemak Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna 2011. Ketiga-tiga akta ini akan kita semak jika ada kaitan dengan cadangan itu,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Selasa lalu, Alias memberitahu mStar Online bahawa KPDNKK menyambut baik cadangan Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman untuk menetapkan tanda harga khas terhadap barangan yang tidak dikenakan GST, cukai baharu yang berkuat kuasa pada 1 April tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek pada Khamis pula berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk melabelkan barangan berkenaan dengan pelekat warna berbeza bagi mengelakkan kekeliruan pengguna.

Menurut Alias, perkara tersebut masih dalam perancangan dan mempunyai masa untuk dilaksanakan sebelum pelaksanaan GST dikuatkuasakan tahun depan.

“Kita perlu melihat penepatan warna ini sama ada ia bertentangan dengan akta atau tidak. Kita akan kaji perkara itu dari segi perundangan.

“Jika peniaga tidak patuh mengikut peraturan itu, apakah kesannya. Kalau peniaga tidak patuh, apa yang akan kita lakukan terhadap mereka (penguatkuasaan).

“Kita masih ada masa untuk adakan perbincangan. Semua perkara akan diputuskan terlebih dahulu selain mengadakan perbincangan bersama semua pihak berkaitan,” katanya sambil menambah perancangan turut melibatkan barangan yang dikenakan cukai kadar sifar.

GST, Tanda Harga Khas, Alias Ahmad, KPDNKK

Artikel Lain