suria

Pelihara Anjing Untuk Keselamatan, Buru, Bukan Dibelai - Fathul Bari

Peserta turut diberi tutorial mengenai penjagaan anjing termasuk cara menyuci menerusi kempen I Want To Touch A Dog, Ahad.

PETALING JAYA: Sikap ihsan terhadap haiwan termasuk anjing bukan bermaksud membela atau membelai, sebaliknya menjaga hak haiwan berkenaan.

Penceramah bebas, Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, ihsan di sini lebih menjurus kepada merawat haiwan itu ketika sakit atau apabila ia lapar diberinya makan.

"Oleh itu, umat Islam tidak boleh menjadikan anjing sebagai haiwan pemeliharaan untuk tujuan dibelai atau dimanjakan, berbeza dengan kucing yang ditetapkan sebagai haiwan peliharaan kerana ia disifatkn dekat dengan manusia tetapi bukan anjing.

"Bagaimanapun, umat Islam diizinkan memelihara anjing dalam dua keadaan sahaja iaitu untuk menjaga keselamatan dan memburu, selain daripada itu tidak pernah diizinkn oleh syariat," katanya kepada mStar Online ketika ditanya mengenai kempen 'I Want To Touch A Dog' yang diadakan di Central Park One Utama pada Ahad.

Acara yang mendapat sambutan ramai itu bertujuan untuk membantu orang ramai mengatasi rasa takut mereka kepada anjing.

Fathul Bari menambah, walaupun sikap ihsan itu dituntut agama termasuk ke atas anjing tetapi kempen 'I Want To Touch A Dog' bukanlah cara yang dimaksudkan Nabi Muhammad SAW.

"Saya bukan anti anjing, tapi saya cuba sampaikan perspektif syariat dalam isu ini.

"Misalnya, saya menyokong sepenuhnya apa yang dilaksanakan seorang doktor pakar di sebuah pusat perubatan swasta yang memberi rawatan percuma ke atas anjing pemburu masyarakat orang asli yang cedera dan perbuataan ini dikategorikan bersikap ihsan kepada anjing," katanya yang juga Exco Agama Pemuda Umno.

Beliau juga mempersoalkan kenapa perlu diadakan kempen menyentuh, sebaliknya lebih sesuai jika pengisian untuk mengajar bersuci atau kempen ihsan kepada haiwan termasuk anjing yang bersifat universal.

Kaedah menyucikan najis mughalazah termasuk menyentuh anjing yang basah kerana hujan atau terkena air liurnya adalah enam kali bancuhan air mutlak dan sekali air bercampur tanah.

Menerusi kempen itu pengunjung juga diberi tutorial cara sertu iaitu membersihkan diri selepas memegang anjing.  

Fathul Bari Mat Jahya, kempen, anjing

Artikel Lain