suria

Label 'Pendatang' : Gerakan Gantung Keahlian Tan Lai Soon

Tan Lai Soon.
KUALA LUMPUR: Parti Gerakan telah menggantung keahlian seorang perwakilan dari Johor, Tan Lai Soon berhubung kenyataannya yang melabelkan orang India, Cina dan Melayu adalah 'pendatang' atau imigran. 

Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu membuat keputusan tersebut selepas mengadakan mesyuarat tergempar pada Isnin. 


Sebelum itu, kira-kira 14 ahli parti telah membuat aduan terhadap kenyataan Tan sebelum ini. Ekoran daripada aduan tersebut CWC telah memutuskan untuk menggantung keahilan dan mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap Tan. 

Dalam Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-43 pad Ahad, Tan berang dengan tindakan ahli Umno yang melabelkan orang Cina dan India sebagai 'pendatang', beliau berkata orang Melayu juga tidak jauh berbeza kerana mereka juga datang dari Indonesia. 

Tan berkata hanya Orang Asli dan  penduduk asal Sabah dan Sarawak sahaja boleh dianggap sebagai penduduk asal di negara ini. 

Timbalan Presiden Geraka, Datuk Dr Cheah Soon Hai berkata parti itu mengutuk kenyataan yang dibuat oleh Tan. 

"Ia tidak melambangkan pendirian parti, semua kita adalah rakyat Malaysia dan tidak ada rakyat Malaysia yang boleh digelar sebagai 'pendatang' atau imigran. 

"Rakyat Malaysia yang lahir di sini Malaysia adalah warganegara. Saya yakin sekiranya orang Melayu memanggil orang Cina sebagai 'pendatang' ia akan menyakiti antara satu sama lain," kata Cheah kepada pemberita pada Isnin. 

"Kita harus mengambil maklum, Tan menarik balik kenyataannya sebelum ini dan dia telah memohon maaf atas kesilapannya," katanya. 

Tan diberi tempoh selama 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab mengapa dia tidak harus disingkirkan daripada parti seperti yang termaktub di bawah Artikel 17.2, perlembagaan parti. 

Cheah turut memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia yang berasa kecil hati terhadap kenyataan Tan sebelum ini. 

"Kami ingin menegaskan sekali lagi Gerakan merupakan sebuah parti yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan kami menolak sebarang kenyataan yang tidak melambangkan sifat perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara ini," katanya. 

"Justeru, kami menggesa semua pihak berhenti membuat tuduhan kerana ia akan hanya memburukkan lagi keadaan. Gerakan sentiasa menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan," katanya. 

Tan Lai Soon, Gerakan, pendatang

Artikel Lain