suria

Polis Siasat Lelaki Warga Itali Hilang Di Lahad Datu

William Bocchi yang dikenali sebagai Fabio hilang sejak 13 Oktober lalu.
TAWAU: Polis meminta kerjasama orang ramai mengesan seorang lelaki warga Itali yang dilaporkan hilang di Lahad Datu, dekat sini Sabtu lepas.


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, William Bocchi, 52, dilaporkan hilang oleh rakannya apabila mangsa tidak kembali ke Itali Sabtu lepas seperti dijadualkan.

"Menurut laporan, rakan William yang berada di Itali, dikenali sebagai Fabio telah mengirimkan pesanan melalui email kepada rakan mangsa yang berada di Kuala Lumpur, bahawa William tidak kembali ke Itali seperti waktu yang telah ditetapkan.

"Siasatan awal pihak polis mendapati kali terakhir William menghubungi Fabio pada 13 Oktober lepas dengan mengatakan dia berada di Lahad Datu, namun tidak memberitahu tujuannya berada di situ," katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Beliau berkata, hasil maklumat yang diterima William terlibat dalam "Financial Service" dan dipercayai datang ke Lahad Datu untuk berjumpa dengan pelanggan.

"Semakan rekod Imigresen menunjukkan William masuk ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12 Oktober lepas dan pergi ke Lahad Datu keesokan harinya melalui penerbangan dari Kota Kinabalu ke Lahad Datu pada pukul 1.05 petang," kata Jalaluddin.

Beliau berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai William supaya menghubungi balai polis berhampiran. 


William Bocchi, Itali, Fabio

Artikel Lain