PETALING JAYA: Untuk mengelakkan rasa mengantuk dan memiliki kemahiran pemanduan yang bagus sering digunakan sebagai alasan oleh penunggang motosikal berkuasa tinggi, apabila mereka melanggar had laju yang ditetapkan, kata Ketua Polis Trafik Bukit Aman, Asisten Komisioner DAtuk Mohd Fuad Abdul Latiff. Bagaimanapun, alasan tersebut kini sudah tidak boleh digunakan lagi, hal ini kerana kerajaan telah menetapkan had laju untuk penunggang motosikal berkuasa tinggi. "Kerajaan telah menetapkan had laju yang bersesuaian selepas menjalankan kajian terperinci mengenai kaitan faktor persekitaran dan keselamatan penunggang motosikal berkuasa tinggi ketika memandu. "Tiada alasan mengapa tidak harus mematuhinya, tidak betapa mahirnya penunggang berkenaan, mereka harus sentiasa berhati-hati," katanya ketika diminta mengulas mengenai kemalangan yang berlaku di KM26.5 Lebuh Raya Karak- Kuala Lumpur pada Ahad. Dalam kemalangan tersebut dua orang penunggang motosikal berkuasa tinggi meninggal dunia, sementara seorang lagi dilaporkan cedera parah. Mohd Fuad berkata risiko untuk cedera atau terbunuh bagi mereka yang menunggang motosikal adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding mereka yang menaiki kenderaan lain. "Ini merupakan sebab utama mengapa penunggang motosikal perlu mematuhi had laju yang ditetapkan dan memandu secara berhemah. "Mereka bukan hanya membahayakan nyawa sendiri ketika mereka memandu melebihi had laju, malah nyawa pengguna jalan raya yang lain turut juga berada dalam keadaan baaya," katanya sambil menambah, polis telah membuat pemerhatian bahawa penunggang motosikal berkuasa tinggi tidak mematuhi had laju yang ditetapkan. Ditanya mengenai kemahiran pemanduan yang dimiliki oleh penunggang yang terbunuh itu, Mohd Fuad berkata kemahiran pemanduan yang dimiliki bukanlah 'tiket' untuk seseorang pemandu melanggar peraturan had laju yang ditetapkan. "Undang-undang dan peraturan perlu diikuti oleh semua, tanpa mengira apa jua kemahiran yang mereka miliki," katanya. Jika mereka menggunakan alasan mengantuk menyebabkan mereka menunggang dalam keadaan laju, maka semua penunggang yang penat tidak seharusnya berada di atas jalan raya. "Penunggang motosikal berkuasa tinggi harus berada dalam keadaan segar dan fokus terhadap pemanduan mereka. Kaedah yang sama juga harus digunapakai terhadap pembonceng motosikal," katanya sambil mengingatkan penunggang motosikal agar menghormati hak penunggang yang lain bagi mengelakkan daripada sebarang kejadian yang tidak diingini. "Mereka harus sedar tanggungjawab besar yang dipikul, terutamanya apabila mereka bergerak secara konvoi," katanya. Ditanya sama ada kamera had laju boleh mengesan penunggang yang melanggar had laju yang ditetapkan, Mohd Fuad berkata perkara tersebut tidak menimbulkan sebarang masalah, ini kerana kamera berkenaan dapat menangkap imej nombor pendaftaran kenderaan daripada bahagian depan atau belakang. "Namun, adalah lebih mudah sekiranya kamera itu memfokuskan kepada penunggang motosikal berbanding di bahagian belakang," katanya.