KOTA KINABALU: Polis Sabah masih giat mengesan seorang lelaki warganegara Itali yang dilaporkan hilang sejak tiba di Lahad Datu pada 13 Okt, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman. Katanya maklumat terakhir melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diterima pihak polis mendapati mangsa, William Bocchi, 52, dikesan mendaftar masuk di Hotel Four Point di Sandakan pada 13 Okt jam 9.25 malam dan mendaftar keluar pada 14 Okt. "Sehingga sekarang usaha-usaha mengesan telah diperluaskan ke Lahad Datu, Semporna dan Sandakan. Mungkin kita akan perluaskan ke kawasan pedalaman hingga ke Kinabatangan," katanya kepada pemberita di sini, Selasa. Menurut Jalaluddin pihaknya telah mengarahkan semua ketua polis daerah di timur Sabah untuk mengedarkan gambar William untuk mengesannya dan percaya kehilangan William tiada kaitan dengan perbuatan jenayah. Jalaluddin berkata Kedutaan Itali sudah menghubunginya mengenai kejadian itu. Katanya orang ramai juga diminta segera menghubungi pihak polis sekiranya terlihat mangsa. Bocchi, seorang peniaga, tiba di Kota Kinabalu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12 Okt sebelum meneruskan penerbangan pada keesokan harinya dan tiba di Lahad Datu pada jam 1.05 petang.