suria

Sambutan Deepavali Dicemari Simbahan Cat Kuning

KUALA LUMPUR: Keriangan seorang guru untuk menyambut Deepavali bersama keluarga bertukar muram apabila tiga kereta miliknya disimbah cat kuning dipercayai angkara khianat oleh individu tidak bertanggungjawab, di Seksyen 6, Bandar Sungai Long, Kajang, pada Rabu.

N. Rajaletchumi, 43, guru di sebuah sekolah rendah di Kajang berkata kejadian itu hanya disedari pembantu rumahnya yang hendak mengemas kawasan luar rumah pada 7 pagi Rabu.

"Sebaik sahaja keluar, pembantu rumah saya mendapati tiga kereta Perodua Myvi, Viva dan Toyota Avanza keluarga saya telah disimbah cat kuning yang mengenai bahagian but dan cermin belakang kenderaan itu.

"Percikan cat kuning itu mengenai hampir separuh ketiga-tiga kereta keluarga saya dan kini kami sedang membersihkannya," katanya.

Rajaletchumi berkata, hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati perbuatan itu dilakukan dua lelaki tidak dikenali yang menunggang motosikal dan bertindak menyimbah cat pada 4.57 pagi Rabu.

"Hasil rakaman CCTV, saya melihat ada dua lelaki tidak dikenali menunggang motosikal, memakai jaket dan topeng muka menyimbah cat," katanya.

Katanya, perbuatan khianat seumpama itu pernah berlaku di kawasan perumahan mereka sejak 2012 dan sebelum ini terdapat kenderaan penduduk di kawasan itu pernah dibakar dan disimbah cat.

Rajaletchumi berkata beliau telah membuat laporan mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.
Deepavali, guru

Artikel Lain