suria

Mayat Remaja 13 Tahun Ditemui Tersangkut Kayu

KUALA LUMPUR: Mayat seorang remaja lelaki yang lemas selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Kerayong berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Maluri di sini semalam, ditemui pagi Khamis.


Mayat Muhammad Ridzuan Yusri, 13, dari Cheras ditemui 10.50 pagi, kira-kira empat kilometer dari tempat kejadian oleh pasukan mencari dan menyelamat, dalam operasi yang dijalankan sejak lewat petang Rabu.

Penguasa Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Ruzain Jaafar berkata, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Permaisuri, Cheras itu ditemui tersangkut pada kayu pada kedalaman kira-kira 1.5 meter di dasar Sungai Kerayong berhampiran Flat Sri Melaka di sini.

"Petang semalam, pasukan penyelamat mencari mayat mangsa di kawasan itu, tetapi gagal menemuinya kerana keadaan air keroh dan hujan masih turun," katanya ketika dihubungi di sini, Khamis.

Pada kejadian 6 petang semalam, Muhammad Ridzuan dilaporkan terjatuh ke dalam Sungai Kerayong ketika bermain dalam hujan lebat bersama-sama lima rakannya di tebing sungai tersebut.

Katanya, lapan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba Pudu, polis, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Pertahanan Awam terbabit dalam operasi berkenaan.



Artikel Berikut

Artikel Lain