SHAH ALAM: Tribunal Pengurusan Strata yang mengurus dan mendengar kes berkaitannya akan ditubuhkan selewat-lewatnya pertengahan tahun depan, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan. Tribunal ini melibatkan Akta Pengurusan Strata 2013 atau Akta 757 yang diwartakan pada Februari tahun lalu dan akan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2015. Beliau berkata, tribunal ini akan memastikan perkhidmatan yang terbaik dalam pengurusan bangunan strata dan platform bagi membuat aduan terhadap perkhidmatan yang diberikan. Tambahnya, semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara perlu meluluskan resolusi berkaitan pelantikan pengerusi tribunal dan anggota di peringkat negeri masing-masing. "Walaupun akta ini berkuat kuasa 1 Januari 2015 tetapi saya dimaklumkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri-negeri mungkin diadakan pada Mac. Tetapi itu tidak jadi masalah sebab banyak lagi peruntukan dalam akta ini perlu dikuatkuasakan yang tidak ada hubung kait dengan penglibatan tribunal itu nanti," katanya pada sidang media selepas membuat kunjungan hormat kepada Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali di Bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah (SUK) di sini, Khamis. Abdul Rahman berkata, Selangor mempunyai jumlah bangunan strata yang tinggi, di mana 50 peratus rakyat Selangor tinggal di bangunan itu. "Sebab itu, kita memaklumkan kepada menteri besar bahawa DUN Selangor perlu meluluskan resolusi untuk pelantikan pengerusi dan timbalan serta anggota tribunal oleh menteri KPKT seperti mana termaktub dalam akta. "Menteri besar telah meminta supaya diberi ruang kepada mereka di Selangor (rakyat) untuk menganggotai tribunal ini. "Kita tidak mempunyai masalah selagi kelayakan dipenuhi untuk mendapatkan anggota tribunal dari Selangor dengan mengambil kira Selangor mempunyai bangunan srata yang begitu banyak," katanya. Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, kerajaan negeri menyambut baik Akta Pengurusan Srata 2013 dan mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan dalam akta berkenaan. "Selangor adalah negeri maju dan mempunyai pembangunan strata, kita memerlukan kerjasama kementerian untuk memastikan pengurusan bangunan strata ini dapat dilaksanakan dengan baik bagi menjamin hak pembeli, pemilik dan penduduk di bangunan itu," katanya.