CHERAS: Rondaan berkuda untuk kawalan keselamatan akan dipertingkatkan dengan adanya 30 ekor kuda yang baharu dibeli oleh Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di bawah pasukan POlis Diraja Malaysia (PDRM). Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kehadiran 30 kuda baharu in juga mampu mengeratkan hubungan polis dengan masyarakat, khususnya yang tinggal di kawasan perumahan. "Kuda-kuda ini bukan sahaja digunakan untuk tugas-tugas kawalan keselamatan orang ramai dan rusuhan tapi juga akan kerap turun padang membuat rondaan di kawasan perumahan dan di taman untuk mengeratkan hubungan polis dengan masyarakat. "Sudah 30 tahun unit berkuda ini diwujudkan sepatutnya kita berikan perkhidmatan lebih luas dalam berhubung dengan masyarakat," katanya pada sidang media selepas menghadiri upacara pengiktirafan kuda baharu PDRM di sini, Khamis. Menurut Khalid, polis akan menurunkan anggota dari unit berkuda 'sebanyak yang boleh' untuk tujuan kawalan keselamatan di tempat awam. "Keutamaan adalah di Lembah Klang kerana kurang kos pengangkutan dan penyelenggaran ketika ia (kuda) melakukan rondaan. "Sekali-sekala kita akan bawa kuda-kuda ke luar Lembah Klang, contohnya kita bawa ke Cherating untuk latihan dan bersama masyarakat," katanya. Katanya, kandang utama untuk menempatkan kuda ini terletak di Pasukan Gerakan Am di sini dan sebuah lagi di Putrajaya. Khalid berkata, sehingga kini Unit Berkuda FRU mempunyai 74 ekor kuda pelbagai baka yang dibeli dari beberapa negara seperti Eropah, Pakistan dan negara Timur Tengah secara keseluruhannya. Bagaimanapun katanya, 30 ekor kuda yang baharu ini dibeli dari Australia dengan kos RM3 juta termasuk kos pengangkutan.