GEORGE TOWN: Pulau Pinang mengesahkan pengharaman warga asing untuk bekerja sebagai tukang masak utama di gerai penjaja bagi mengekalkan keunikan rasa makanan tempatan. Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata penjaja akan diberi tempoh selama setahun mulai 1 Januari 2015, bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan peraturan baharu yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2016. "Ini akan dilakukan secara berperingkat, tidak serta-merta," kata Lim pada sidang media di sini, Jumaat. Larangan terhadap warga asing bekerja sebagai tukang masak adalah satu usaha untuk memastikan keunikan rasa makanan tempatan di Pulau Pinang dapat dikekalkan. Tambah Lim, semua pusat penjaja, kedai kopi, medan selera di pusat beli-belah serta peniaga jalanan perlu memastikan bahawa hanya penduduk tempatan bekerja untuk memasak hidangan tempatan. "Penguatkuasaan ini akan dimasukkan dalam lesen mereka. Kegagalan mematuhinya akan mengakibatkan tindakan undang-undang diambil," katanya.