suria

Caj Bayaran Kenderaan Asing Akan Ditetapkan Kerajaan Persekutuan - Aziz Karpawi

BATU PAHAT: Kerajaan Persekutuan dalam peringkat akhir untuk memutuskan kadar bayaran yang sesuai untuk dikenakan terhadap kereta dan kenderaan barangan berdaftar di luar negara yang memasuki Malaysia melalui Johor. 

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Karpawi berkata Unit Perancangan Ekonomi sedang mempertimbangkan kadar bayaran bersesuaian yang akan dikenakan terhadap kenderaan yang masuk ke negara ini melalui pintu masuk negara di selatan tanah air.  

"Secara peribadi saya merasakan harga yang sesuai adalah tidak melebihi RM50 bagi setiap perjalanan," katanya ketika ditanya mengenai perkembangan terkini kadar bayaran permit yang baharu sambil menambah kadar tersebut akan dilaksanakan berkuatkuasa Januari tahun hadapan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam lawatannya ke Johor Julai lalu, telah mengumumkan bahawa kerajaan pusat bercadang untuk mengenakan bayaran bagi setiap kenderaan pendaftaran daripada negara luar yang memasuki Johor, ekoran cadangan yang dikemukakan oleh kerajaan Johor. 

Kerajaan Johor telah mengemukakan cadangan untuk mengenakan bayaran bagi kenderaan daripada luar yang memasuki  negara ini melalui Tambak Johor dan Link Kedua pada 2006 bagaimanapun cadangan tersebut kemudiannya dibatalkan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain