PETALING JAYA: Malaysia sedang mencari lebih bantuan pakar dari Amerika Syarikat dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) berhubung tragedi MH370 dan MH17, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai. "Kita sedang bergerak dengan baik, jadi kita sedang cuba mendapatkan sokongan AS jika mereka mempunyai sebarang kelengkapan untuk meneruskan carian. Sekarang kita perlu melakukan dengan lebih lagi untuk melihat apakah ada lebih teknologi dan pakar-pakar untuk mencari pesawat," katanya. Tiong Lai, yang berada di Amerika Syarikat untuk bertemu dengan Setiausaha Pengangkutan Anthony Foxx, dipetik dalam USA Today sebagai berkata bahawa beliau ingin menyampaikan rasa terima kasih Malaysia kerana sokongan Amerika Syarikat dalam usaha mencari penerbangan 370. Menurut USA Today, pencarian pesawat yang hilang meliputi "kawasan dasar laut bersaiz Virginia Barat". "Angkatan Laut AS berhenti menyediakan kapal Bluefin-21 beberapa bulan lalu. Sebaliknya, salah sebuah kontraktor carian Malaysia telah mengupah kenderaan dalam air (AUV) Bluefin dengan unit pengesan sonar dari Phoenix International Maryland untuk membantu menyambung semula pencarian," kata laporan itu. USA Today juga melaporkan bahawa Tiong Lai akan mengunjungi ICAO di Montreal minggu depan 'untuk menggesa agar pengesanan penerbangan yang lebih baik bagi mengelakkan berlakunya kes seperti penerbangan MH370. Beliau juga dijangka akan mendorong ICAO mengambil keputusan untuk mendapatkan akses yang lebih baik ke lokasi nahas 'kerana penyiasat masih tidak dapat sampai ke bahagian di Ukraine di mana penerbangan MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai dengan 298 orang di atas kapal". Walaupun dengan adanya gencatan senjata, tapak nahas masih tidak boleh diakses. "Musim sejuk akan tiba," Tiong Lai dipetik sebagai berkata. "Kami masih bimbang ini akan menjejaskan siasatan." Tiong Lai berkata walaupun perakam suara dan data telah ditemui dari pesawat itu, pakar-pakar keselamatan diperlukan untuk memeriksa bangkai pesawat bagi menentukan apa yang berlaku. "Kita mengesyaki dengan pasti bahawa pesawat ditembak peluru berpandu," katanya. Menurut USA Today, Tiong Lai meminta Foxx dan ICAO untuk menyokong koordinasi antara kerajaan dan syarikat-syarikat penerbangan tentang zon konflik yang berpotensi menjadi ancaman kepada syarikat penerbangan. Tiong Lai berkata kedua-dua bencana itu adalah keadaan sukar untuk Malaysia. "Kami sangat, sangat tertekan dan sangat sedih di atas kedua-dua kejadian," katanya. "Kami sangat tersentuh melihat begitu banyak negara tampil untuk membantu kami." Tiong Lai berkata Malaysia Airlines adalah penting untuk Malaysia kerana ekonomi syarikat penerbangan dan negara berkembang bersama-sama. "Ia adalah ikonik," katanya mengenai MAS. "Terdapat banyak emosi di dalamnya."