KUANTAN: Seorang lelaki rentung selepas rumahnya di Simpang 4, Kampung Baru Bintang dekat Temerloh terbakar pada Sabtu malam. Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Anuar Osman berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Sabaruddin Ahmad berusia 46 tahun. Beliau berkata polis menerima maklumat berhubung kebakaran itu pada jam 8.12 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian. "Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh yang selesai melakukan kerja memadamkan api menemui mayat mangsa dalam keadaan rentung di ruang tamu rumahnya," katanya. Beliau berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa yang masih bujang, tinggal seorang diri manakala kakak dan ibunya ke rumah saudaranya di Lanchang, Temerloh. Anuar berkata bomba percaya kebakaran tersebut bermula dari bahagian dapur namun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca dan jumlah kerugian. Katanya mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh untuk bedah siasat.