PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-10 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu dari 28 hingga 30 Okt ini. Wisma Putra dalam satu kenyataan di sini pada Ahad, berkata Najib yang juga Menteri Kewangan akan ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor. Antara anggota delegasi Malaysia ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed. Turut serta Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Othman Hashim dan pegawai kanan pelbagai kementerian serta agensi. Selaku Penaung Yayasan WIEF, Najib juga akan menyampaikan ucapan khas semasa perasmian sesi pada 28 Okt. Perdana Menteri juga dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya bagi membincangkan isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang ada kepentingan bersama. Menurut kenyataan itu, Najib dijadual menghadiri mesyuarat meja bulat dengan pelabur berpotensi selain melancarkan Festival Agromakanan Malaysia. Beliau juga dijangka menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian antara syarikat tempatan dan antarabangsa. Bertemakan 'Perkongsian Inovatif untuk Pertumbuhan Ekonomi', WIEF ke-10 akan membincangkan konsep perkongsian inovatif dan bagaimana perkongsian ini dapat membantu pertumbuhan ekonomi negara dan masyarakat Islam selain pasaran ekonomi global. Forum juga akan menyediakan platform untuk peserta mengumpul idea terutama dalam melaksana perkongsian inovatif dan menyediakan peluang untuk kerjasama pada masa depan dalam pelbagai sektor. Lebih daripada 2,500 peserta dijangka menghadiri forum tahun ini.