suria

Musim Hujan Tidak Jamin Berakhirnya Masalah Air

PETALING JAYA: Musim hujan di Lembah Klang telah bermula namun paip air untuk sembilan juta penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih berdepan masalah.

Masalah ini juga menjadi keluhan umum pengguna yang sering diterima oleh penyalur air terbesar negara sejak kebelakangan ini.

Masalah yang timbul sekarang bukanlah disebabkan bekalan air di empangan utama di negeri ini iaitu empangan Sungai Selangor yang kini mencatatkan paras air lebih dari 45 peratus selepas jatuh pada tahap kritikal 30 peratus pada September.

Sebaliknya, ia mempunyai kaitan dengan keupayaan terhad loji rawatan untuk memenuhi permintaan bagi air terawat.

Keadaan ini telah menyebabkan kebimbangan terhadap margin simpanan tipis air terawat di mana Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) perlu bergantung dengannya sekiranya terdapat kes pencemaran air mentah, kegagalan rumah pam, kegagalan elektrik, gangguan yang disebabkan oleh pihak ketiga atau musim kering panjang yang berlaku secara tiba-tiba.

Angka-angka terbaharu dari Syabas menunjukkan bahawa permintaan semasa untuk air di Lembah Klang adalah 4.567 juta liter sehari (JLH) manakala kapasiti yang boleh diagihkan dari 34 loji rawatan adalah 4,686 JLH.

Rizab margin atau perbezaan di antara penawaran dan permintaan hanyalah 2.6 peratus, satu angka yang digambarkan oleh pegawai sebagai 'garis biru nipis' di Lembah Klang.

"Margin rizab air di Lembah Klang adalah terlalu kecil, sedangkan margin selesa yang diperlukan ialah di antara 10 dan 20 peratus bagi mengelakkan masalah bekalan berlaku secara meluas kerana gangguan tidak berjadual," kata pegawai tersebut.

Syabas membeli air terawat daripada operator loji rawatan dan mengedarkannya kepada pengguna manakala Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bertanggungjawab untuk menguruskan sumber air mentah di negeri ini termasuk memantau sungai-sungai yang tercemar. 

Syarikat itu berkata menerima antara 16,000 dan 20,000 panggilan telefon sehari daripada pelanggan ketika gangguan air tidak berjadual pada 12 dan 16 Oktober lalu, dengan banyak pertanyaan dibangkitkan mengenai masalah air yang berterusan walaupun musim hujan telah tiba.

Kejadian pencemaran di Sungai Selangor mencetuskan penutupan sementara empat loji rawatan, dan sebahagian air terawat yang dihasilkan oleh loji rawatan Sungai Semenyih terpaksa disalurkan ke lokasi terjejas di daerah Petaling.

Ini membawa kepada pengurangan bekalan ke kawasan seperti Bandar Puteri Puchong.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia S. Piarapakaran berkata situasi ini adalah membimbangkan, sama seperti keadaan di mana terdapat banyak kereta tetapi tidak ada jalan tambahan.

"Di sebalik adanya peningkatan dalam jumlah hujan, kita masih tidak dapat keluar daripada masalah kerana kapasiti untuk mengeluarkan air terawat masih terhad," katanya.

Sebagai langkah untuk meningkatkan bekalan air terawat sementara menunggu projek pemindahan air mentah Pahang-Selangor dan loji Langat 2 siap, Piarapakaran menggesa pihak berkuasa melakukan lebih banyak promosi dan galakkan dalam penggunaan peralatan di rumah melibatkan air secara berhemah seperti mesin basuh, dapur dan tandas untuk membantu pengguna menjimatkan air.

Selain daripada pencemaran, musim kering secara tiba-tiba yang panjang juga boleh menyebabkan atau memburukkan lagi gangguan seperti yang berlaku awal tahun ini yang membawa kepada catuan selama dua bulan.

Seorang pegawai Jabatan Meteorologi berkata musim kering yang akan datang di Lembah Klang dijangka berlaku pada bulan Februari hingga Mac tahun depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain