suria

Ribut Petir Dikesan Tiga Jam Sebelum, Bukan Seperti Dakwaan Whatsapp

PUTRAJAYA: Tanda-tanda ribut petir hanya dapat diketahui seawal tiga jam sebelum kejadian dan bukannya boleh ditentukan beberapa hari sebelumnya sebagaimana yang tersebar di media sosial, kata Ketua Pengarah Meteorologi Datuk Che Gayah Ismail.

Beliau menjelaskan dengan menggunakan teknologi terkini, pengumpulan awan yang mungkin boleh mencetuskan kejadian ribut petir akan dapat dikesan dalam tempoh seawal tiga jam.

"Sebarang tanda-tanda awal (ribut petir) akan disiarkan di laman web rasmi jabatan dan melalui laman-laman sosial rasmi kami," katanya dalam sidang media di sini, Isnin.

Dalam sidang media yang diadakan berikutan penyebaran maklumat palsu melalui aplikasi Whatsapp kononnya Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran puting beliung di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya, Che Gayah turut menegaskan bahawa tidak semua ribut petir akan menghasilkan puting beliung.

Maklumat itu mendakwa kononnya ribut petir selaju 80 hingga 100 kilometer sejam (km/j) akan melanda Kuala Lumpur dan Putrajaya dari 27 hingga 30 Okt, yang dijangka boleh menyebabkan fenomena puting beliung di kawasan berkenaan.

"Setiap ribut petir selalunya akan diiringi angin kencang dengan kelajuan minimum 50km/jam namun itu tidak sama dengan puting beliung," katanya, sambil menambah masyarakat mungkin beranggapan negara kini kerap dilanda puting beliung ekoran penyebaran kejadian seumpama itu yang dirakamkan melalui telefon pintar.

Menurut rekod, katanya, negara telah mengalami beberapa kejadian angin kencang disebabkan ribut petir dengan yang tertinggi dicatatkan di Kuching, Sarawak pada 1992 dengan kelajuan angin mencapai 150km/jam.

Buat masa ini Jabatan Meteorologi mempunyai 180 buah stesen cuaca automatik di seluruh negara yang berkeupayaan mengesan kejadian ribut petir dan kini dalam proses untuk menyiapkan sebanyak 60 lagi stesen tersebut.

Che Gayah berkata fenomena ribut petir yang melanda terutamanya di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia kini adalah kejadian biasa ekoran peralihan monsun.

"Ribut petir yang berlaku biasanya bermula dari waktu tengah hari sehingga malam buat masa ini dijangka akan berlanjutan sehingga minggu pertama atau kedua November," katanya.

Che Gayah berkata ia kemudiannya akan disusuli Monsun Timur Laut atau tengkujuh yang bermula pada minggu kedua November sehingga awal Mac tahun hadapan.

"Jadi untuk cuaca lazim pada musim tengkujuh, kita akan mengalami empat hingga lima episod hujan lebat yang menyeluruh yang biasa akan bermula dari Kelantan kemudian turun Terengganu, Pahang Timur dan Johor Timur dan seterusnya Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau menasihati orang ramai untuk mendapatkan maklumat sahih berkenaan amaran yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi melalui laman web http://www.met.gov.my, media sosial Facebook, http://www.facebook.com/malaysiamet, Twitter http://twitter.com/malaysiamet dan talian hotline 1-300-22-1638 yang beroperasi 24 jam.


Whatsapp, Ribut Petir

Artikel Sebelum

Artikel Lain