PUTRAJAYA: Dua anak Datuk Seri Anwar dan seorang menantunya yang menetap di luar negara pulang ke tanahair bagi menghadiri pendengaran rayuan terakhir kes liwat Anwar. Perkara itu diberitahu oleh emak saudara Anwar yang hanya mahu dikenali sebagai 'Mak Ndak'. Mak Ndak, 66, yang hadir di Istana Kehakiman bersama ratusan penyokong lain pada Isnin berkata dua anak Anwar, Nurul Hana, 21, dan Mohd Ihsan, tiba di tanahair dari Amerika Syarikat pada Ahad. Isteri kepada Mohd Ihsan, Nurul Syahidah turut hadir ke mahkamah bersama keluarga mertuanya. "Ketiga-tiga mereka pulang semata-mata untuk bersama bapa mereka, Datuk Seri Anwar bagi memberi sokongan dan semangat. "Mereka akan pulang ke Amerika pada malam Khamis," katanya kepada mStar Online. Mak Ndak berkata Mohd Ihsan dan isteri menetap di Amerika manakala Nurul Hana sedang mengikuti pengajiannya di sana. "Kesemua anak-anak dan isteri Datuk Seri Anwar berada dalam keadaan tenang menghadapi situasi ini. "Kami sentiasa berdoa supaya keadilan dapat ditegakkan, namun sudah bersedia menerima apa jua keputusan kerana percaya Allah sudah menentukannya dan Allah juga sebaik-baik perancang," katanya.