suria

Najib Mulakan Lawatan Kerja Hari Pertama Di Dubai

Najib (dua dari kiri) bertemu dan bertukar-tukar pendapat mengenai WIEF dengan Naib Presiden dan Perdana Menteri UEA, pemimpin Dubai Sheikh Mohammad Rashid Al Maktoum di sin, Selasa.
DUBAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual memulakan lawatan hari pertamanya di sini dengan menghadiri mesyuarat dua hala dengan Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev.


Kunjungan beliau ke bandar raya paling ramai penduduk di Emiriah Arab Bersatu (UAE) ini adalah bersempena Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ke-10 yang berlangsung di Madinat Jumeirah di sini hingga 30 Oktober.

Najib juga dijangka mengunjungi Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Naib Presiden, Perdana Menteri UAE dan Pemerintah Dubai, bersama para pemimpin yang lain.

Turut hadir Nazarbayev; Md Abdul Hamid, Presiden Bangladesh; Kay Rala Xanana Gusmao, Perdana Menteri Timor Leste; Xaviers Bettel, Perdana Menteri Luxembourg; dan Dr Ahmed Mohamed Ali Al-Madani, Presiden Bank Pembangunan Islam.

Najib yang juga Penaung Yayasan WIEF, kemudiannya akan menyampaikan ucapan khas pada pembukaan Forum WIEF bertema 'Usaha Sama Inovasi Untuk Pertumbuhan Ekonomi'.

Perdana Menteri kemudiannya akan menghadiri jamuan tengah hari bersama para pemimpin lain sebelum menyaksikan majlis bertukar-tukar memorandum persefahaman dan perjanjian antara syarikat-syarikat Malaysia dan rakan perniagaan masing-masing.

Najib dijangka menerima Anugerah Kewangan Islam Global (GIFA) dan ditemu bual oleh media antarabangsa.

Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dijangka menghadiri Jamuan Gala WIEF di Madina Arena, Madinat Jumeirah Conference Centre.

WIEF dianjurkan oleh Yayasan WIEF dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Industri Dubai.

Najib tiba di sini pada Ahad untuk lawatan kerja tiga hari dan dijadual pulang pada 30 Oktober.

Ini merupakan kunjungan kedua beliau ke UAE selepas lawatan pertama ke Abu Dhabi pada Mei.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain