suria

Bakar Bahan Bacaan Agama Dibenarkan Dalam Keadaan Tertentu - Dr M

Dr Mahathir Mohamad.
KUALA LUMPUR: Pembakaran bahan bacaan agama termasuk Al-Quran dan Bible dibenarkan dalam keadaan tertentu tetapi bukan dengan niat jahat, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika diminta mengulas sekiranya kenyataan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang menyeru agar salinan Bible yang mengandungi perkataan Allah dibakar adalah satu hasutan, Dr Mahathir berkata, umat Islam sering membakar salinan Al-Quran yang sudah rosak tetapi dilarang memijak atau membuangnya sesuka hati.

"Jadi, jika umat Islam memiliki beberapa dokumen yang sudah tidak boleh digunakan, mereka tidak boleh membuang bahan bacaan itu sesuka hati dan memijaknya.

"Mereka harus menunjukkan rasa hormat terhadap Bible dan sekiranya mereka membakarnya mengikut bagaimana cara Al-Quran dibakar, jadi ia dibenarkan," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama mengenai Wanita Pemimpin Masa Depan ketika majlis penutup Forum Wanita Luar Biasa 2014 pada Rabu.

"Ia bukan niatnya untuk memprovokasi orang ramai ke dalam pertempuran antara umat Islam dan bukan Islam," katanya.

Pada Isnin, Peguam Negara mengeluarkan satu kenyataan mengatakan desakan Ibrahim Ali untuk membakar Bible dalam versi Bahasa Malaysia tidak dalam lingkungan definisi kecenderungan menghasut mengikut Akta Hasutan 1948 kerana hanya mempertahankan kesucian agama Islam.

Artikel Lain