suria

Ibu Kecewa Anaknya Mangsa Buli Digantung Sekolah

KULIM: Ibu kepada seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di sini yang dikatakan dibuli sekumpulan pelajar sekolah itu melahirkan rasa kecewa dengan tindakan pihak sekolah yang tidak mengambil tindakan terhadap pelajar terbabit tetapi menggantung persekolahan anaknya.

Yuszaidah Yusuf, 41, berkata anaknya Mohd Afiq Afifuddin Mohd Tajuddin, 17, pelajar Tingkatan Lima sekolah itu, diserang dan dicederakan sekumpulan pelajar ketika dia berada dalam sebuah bilik air di sekolah tersebut pukul 10.45 pagi pada 8 Okt lepas.

Katanya apa yang menyebabkan dia keliru adalah apabila anaknya yang bengkak di muka dan bahagian mata kiri serta lebam di belakang badan pula dihukum pihak sekolah kerana dikatakan punca masalah dan dihukum gantung pengajian seminggu.

Katanya dia dan suaminya dimaklumkan seorang guru sekolah tersebut yang anak sulungnya itu dirawat di Bilik Kecemasan, Hospital Kulim pada hari kejadian dan dimaklumkan guru berkenaan bahawa anaknya itu terjatuh dalam bilik air.

"Melihat keadaan lebam di mata kiri, muka dan belakang anak saya itu menguatkan syak saya bahawa anak saya ini bukanlah jatuh tetapi sebenarnya perkara lain yang berlaku terhadap dirinya. Kemudian dia mengaku dikasari sekumpulan pelajar lain ketika dia berada dalam bilik air sekolah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Taman Kulim Techno City (KTC) di sini, Rabu.

Katanya memandangkan kesan-kesan bengkak di mata dan muka serta belakang anak lelakinya itu agak serius, dia dan suaminya Mohd Tajuddin Mohd Taib, 45, memutuskan untuk bertemu doktor di Bahagian Kecemasan Hospital Kulim.

Mereka kemudian mendapatkan rawatan sekali lagi di wad kecemasan sebelum membuat laporan polis.

Katanya memandangkan di Hospital Kulim tiada pakar mata, mereka mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan anak mereka dimasukkan ke wad pada 12 hingga 16 Okt.

"Seperkara yang malang setelah balik ke Kulim pada 16 Okt lalu kami dimaklumkan melalui telefon bahawa anak saya digantung belajar dari 16 Okt sehingga 22 Okt dan agak memeranjatkan kami. Setelah mendapatkan rawatan susulan di Alor Setar, anak saya itu mendapat cuti sakit sehingga 2 Nov," katanya.

Keluarga berkenaan memohon Kementerian Pendidikan supaya memberi pertimbangan lebih wajar berhubung masa depan anak mereka yang cedera akibat dibuli tetapi dikenakan tindakan tatatertib.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Kulim Abdul Aziz Muhammad ketika dihubungi berkata pihaknya sedang menyiasat kes tersebut.

Buli, Kulim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain