suria

Pelancaran MyFest 2015 Di Dataran Merdeka

SEREMBAN: Malaysia menyasarkan kedatangan 29.4 juta pelancong asing dengan memperoleh pendapatan sebanyak RM89 juta menerusi program 'Malaysia Year of Festivals' (MyFest) 2015, iaitu kesinambungan kepada Tahun Melawat Malaysia 2014.


Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Rashidi Hasbullah berkata, MyFest bertujuan untuk terus meningkatkan industri pelancongan negara dan mengekalkan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan.

Majlis pelancaran program bertemakan 'Endless Celebrations' itu akan berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 10 Jan, dimulakan dengan kiraan detik pada malam 31 Dis 2014 pada ambang tahun baharu 2015, katanya pada majlis penerangan tentang program itu di sini, Selasa.

Rashidi berkata, kempen promosi MyFest 2015 yang dijalankan di seluruh negara kini adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk meningkatkan sebaran maklumat tentang acara pelancongan terbesar negara pada tahun depan.

Beliau berkata, program itu akan menjadi platform untuk menyebarkan visi, sasaran dan garis panduan penjenamaan MyFest 2015 kepada penggiat industri dan pihak berkepentingan untuk pelaksanaan yang berkesan, di samping memberi peluang untuk bertemu dan berkongsi idea serta mendapatkan maklum balas.

"Dengan tumpuan baharu, acara perayaan dan kebudayaan berlangsung sepanjang tahun 2015, tahun depan menjanjikan lebih banyak keseronokan dengan tarikan seperti Festival Skyride sepanjang tahun, acara kebudayaan bertema, acara keluarga yang menyeronokan, pesta membeli-belah dan banyak lagi," katanya.

Kalendar sepanjang tahun yang akan dipenuhi dengan perayaan setiap jenis, misalnya festival budaya, membeli-belah secara ekstravaganza, acara antarabangsa yang menyeronokkan, acara ekopelancongan, kesenian, persembahan muzik, promosi makanan dan pelbagai acara bertema. 


MyFest, Dataran Merdeka

Artikel Lain