KOTA KINABALU: Tindakan pantas polis mengepung kawasan Penampang Baru menyaksikan dua lelaki disyaki perompak ditembak mati dan seorang wanita ditahan selepas insiden berbalas tembakan dengan polis kira-kira 6 kilometer dari sini pada Khamis. Namun, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman tidak akan mendedahkan maklumat terperinci mengenai insiden itu dalam sidang media kerana siasatan sedang dijalankan. Difahamkan polis telah mengekori lelaki terbabit sebelum menahan mereka di hadapan beberapa rumah kedai dalam insiden kira-kira pukul 4 petang itu. Saksi berkata, mereka terdengar beberapa bunyi das tembakan selama seminit menyebabkan orang ramai bertempiaran lari. Sumber berkata, dua lelaki yang maut itu mungkin terlibat dengan insiden rompakan di sekitar ibu negeri itu dan Penampang baru-baru ini. Awal hari ini, Jalaluddin berkata, dua individu membantu polis dalam kes cubaan merompak di Penampang pada Isnin.