CYBERJAYA: Malaysia mungkin tidak dapat mencapai status negara maju menjelang 2020 jika hanya menekankan untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi tetapi ketinggalan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad. Bekas perdana menteri itu berkata hanya memperoleh pendapatan tinggi tidak akan menjadikan Malaysia sebagai negara maju, tidak seperti kemampuan penyeldikan dan kemahiran boleh melakukannya. "Pendapatan Malaysia hampir mencapai negara maju tetapi pengalaman dan kemahiran rakyatnya sama seperti mereka yang berada di negara membangun. "Pada ketika ini, saya khuatir dan tidak begitu menaruh harapan bahawa menjelang 2020, Malaysia akan menjadi negara maju," katanya. Dr Mahathir, yang juga pengerusi Proton, berkata demikian pada ucaptamanya pada Seminar "Memperkasakan Industri Automotif Negara' di sini, Rabu. Beliau berkata Brunei sebagai negara berpendapatan tinggi tetapi ia bukan negara maju, sambil menambah pendapatan tinggi dan produktiviti yang rendah hanya akan menjadikan kos sara hidup meningkat lebih tinggi. "Pemikiran rakyat Malaysia terhadap penyelidikan dan pembangunan (R&D)perlu diubah. Rakyat Malaysia masih kurang memahami kepentingan R&D dan sentiasa mempersoalkan pulangan pelaburan dalam bidang ini," katanya. Dr Mahathir berkata Malaysia merupakan satu-satunya negara membangun yang memiliki industri automotif sendiri dan negara-negara membangun sedang belajar daripada negara ini. Industri automotif boleh menjadi pemangkin dalam menyediakan rakyat Malaysia kemahiran, pengetahuan dan keupayaan dalam bidang kejuruteraan, katanya. Hari ini, katanya, Proton menguasai hanya 18 peratus daripada pasaran kereta di negara ini.